KEADAAN forklift yang terbalik selepas terjatuh dari tingkat 4 bangunan kilang di Perai, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN forklift yang terbalik selepas terjatuh dari tingkat 4 bangunan kilang di Perai, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Shamsul Munir Safini


TINDAKAN seorang lelaki dipercayai menaiki forklift ketika sedang diangkat kren ke tingkat empat berakhir tragedi apabila jentera itu jatuh dalam kejadian di sebuah kilang plastik di Perai, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa Ishahak Mohamed, 63, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai Pegawai Bomba Kanan II Zulkhuari Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.40 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya dimaklumkan mangsa terjatuh bersama sebuah forklift yang dipercayai dinaikinya ketika proses mengangkat jentera itu ke tingkat empat bangunan dengan menggunakan kren.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke HSJ untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 5:56 PM