Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu selepas kontena terjatuh dan menghempap bahagian pemandu kenderaan itu. FOTO Ihsan Pembaca
Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu selepas kontena terjatuh dan menghempap bahagian pemandu kenderaan itu. FOTO Ihsan Pembaca
Shamsul Munir Safini


PEMANDU treler cedera selepas kontena yang cuba diletakkan di bahagian belakang treler dipandunya terjatuh dan menghempap bahagian pemandu kenderaan itu di Pelabuhan Pulau Pinang, Butterworth malam tadi.

Kejadian 9.50 malam itu menyebabkan Mohd Helmi Abu Hassan, 30-an, tersepit di bahagian pemandu akibat dihempap kontena berkenaan.

Difahamkan, kontena itu pada mulanya diangkat sebuah kren untuk diletakkan di atas treler terbabit namun gagal dikawal dan terjatuh di bahagian pemandu.

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Seberang Perai Utara, Amirul Asyraf Mohamad Mayidin berkata, pihaknya menerima panggilan 9.54 malam sebelum mendapati mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa cuba dikeluarkan pekerja di situ namun gagal kerana keadaan ruang pemandu yang remuk.

“APM dengan bantuan Bomba Pelabuhan Pulau Pinang berjaya mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di Pasir Gebu, Penaga berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di HSJ.

Sementara itu, Pelabuhan Pulau Pinang tidak dapat dihubungi bagi mengulas kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 5:47 PM