Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.
Shamsul Munir Safini


SEORANG lelaki dibelasah sekumpulan 10 remaja samseng bersenjatakan batang kayu dan besi dalam satu kejadian di Raja Uda, Butterworth, Rabu lalu.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa cedera di bahagian kepala selepas dipukul kumpulan remaja berkenaan sehingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Difahamkan, mangsa sempat menghubungi ibunya bagi memberitahu kejadian itu sebelum dimasukkan ke HSJ kerana parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis 3.30 petang hari sama sebelum usaha memburu suspek dilancarkan.

Katanya, hasil risikan dilakukan, polis berjaya menahan seorang remaja berusia 18 tahun di Mak Mandin susulan kejadian yang masih belum dikenal pasti motifnya.

"Suspek mengaku memukul mangsa bersama beberapa lagi rakannya yang kini diburu polis.

"Polis memburu dua lagi rakan suspek yang terlibat dengan kejadian," katanya.

Menurutnya, suspek tiada rekod jenayah lampau dan direman selama tujuh hari sehingga 1 November bagi tujuan siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda dan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 2:32 PM