WAYTHA MOORTHY. FOTO Arkib NSTP
WAYTHA MOORTHY. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, hanya mengisytiharkan sumber pendapatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa tidak memiliki harta atau aset lain.

Beliau menjelaskan tidak mempunyai wang membeli harta kerana hampir semua pendapatan yang diperoleh sebagai peguam sebelum ini, dibelanjakan untuk membantu masyarakat India miskin di negara ini.

“Sepanjang hidup, saya seorang aktivis dan semua pendapatan dibelanjakan untuk memperjuangkan nasib masyarakat India yang miskin.

“Saya tidak ada akses wang untuk beli harta. Dalam 15 tahun ini, orang biasa yang lain mungkin ada (harta), saya pun dulu peguam tapi tak ada harta sebab semua pendapatan dah dibelanjakan seperti itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya mengapa hanya mengisytiharkan pendapatan sebagai anggota Kabinet tetapi tidak harta dan aset lain kepada SPRM seperti yang tercatat dalam Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my).

Semakan mendapati beberapa ahli parlimen hanya mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan tanpa jumlah aset.

Mereka termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (Silam), Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), RSN Rayer (Jelutong), Wong Tack (Bentong) dan Mordi Bimol (Mas Gading).

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, dilaporkan berkata, seramai 13 ahli parlimen kerajaan belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Waytha Moorthy mengakui beberapa kali ditanya mengapa tidak mengisytiharkan jumlah aset.

“Saya sudah meminta pejabat saya memaklumkan kepada SPRM supaya letakkan nota pada nama saya dalam portal itu, mengatakan memang saya tak ada harta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 1:01 PM