TAN menunjukkan beras seludup yang ditemui dalam gudang di Piasau.
TAN menunjukkan beras seludup yang ditemui dalam gudang di Piasau.
Mohd Rizal Abdullah

Miri: Sebanyak 100,000 kilogram (kg) beras diseludup setiap bulan sebelum dibungkus semula dan dipasarkan di hampir semua kedai runcit, pasar raya, hingga di kawasan pedalaman di Miri sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 30 tahun itu berakhir selepas dia ditahan anggota Batalion 12, Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, jam 8 pagi di sebuah gudang beras di Piasau, Sabtu lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, hasil serbuan, pihaknya menemui hampir 300,000kg beras seludup bernilai RM623,880 dalam gudang berkenaan.

“Siasatan mendapati, semua beras itu diseludup dari Thailand dan Vietnam menggunakan kapal sebelum dihantar ke gudang berkenaan.

“Beras berkenaan kemudian dibungkus kepada bungkusan lima kilogram dan 10kg menggunakan jenama tempatan sebelum dipasarkan ke bandar raya ini termasuk ke ladang-ladang.

“Individu terbabit menyeludup kira-kira 100,000kg beras setiap bulan ke gudang ini,” katanya.

BERAS seludup dibungkus semula sebelum dijual hingga ke pedalaman Miri.
BERAS seludup dibungkus semula sebelum dijual hingga ke pedalaman Miri.

Menurut beliau, semakan mendapati individu terbabit tidak mempunyai lesen dan permit bagi membawa masuk beras.

“Premis ini pernah diserbu dua tahun lalu atas kesalahan sama, namun kegiatan itu terus berjalan,” katanya.

Menurut beliau, suspek ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Pusat Miri. Kes disiasat mengikut Peraturan 9 (2)(a) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 11:36 AM