KANAK-KANAK diarak ke balai khatan.
KANAK-KANAK diarak ke balai khatan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Umum mengetahui, masyarakat Orang Asli adalah orang asal yang menduduki Tanah Melayu dan mempunyai sekurang-kurangnya 18 suku di Semenanjung Tanah Melayu.

Senoi adalah masyarakat Orang Asli yang terbesar di negara ini berbanding Negrito dan Melayu Proto yang salah satu suku kaum dalam kumpulan itu ialah Jah Hut.

Masyarakat ini mewarisi pelbagai corak kehidupan, kebudayaan dan adat resam yang unik diamalkan sejak turun- temurun.

Antaranya ialah adat berkhatan. Kaum Jah Hut yang tinggal di Kampung Pian, Jerantut, Pahang dipercayai mempunyai keturunan darah Raja Pagar Ruyung yang berasal dari Sumatera, Indonesia.

Sejarah itu bermula apabila putera bongsu Raja Pagar Ruyung tidak boleh dikhatankan kerana mengamalkan ilmu kebal menyebabkan baginda dihina kaum kerabatnya.

Oleh kerana malu, baginda melarikan diri ke Tanah Melayu dan tinggal bersama Orang Asli di kampung berkenaan.

Baginda kemudian berkahwin dengan anak gadis tok batin Orang Asli Jah Hut dan situasi itu dikatakan menjadi punca tercetusnya asimilasi budaya berkhatan di perkampungan terbabit.

Majlis berkhatan putera sulung baginda diadakan secara besar-besaran mengikut istiadat Raja Pagar Ruyung.

Menurut Ketua Muzium Seni Kraf Orang Asli Asmawi Mohamed Yunos, pelbagai persiapan perlu dilakukan sebelum acara berkhatan yang lazimnya berlangsung selama tiga hari.

ASMAWI menunjukkan Galang atau kubur suku Jah Hut.
ASMAWI menunjukkan Galang atau kubur suku Jah Hut.

Katanya, acara itu bermula dengan menjahit kain berwarna merah dan putih dilakukan wanita berusia. Kain itu dijadikan bendera yang mempunyai lambang dan maksud tersendiri.

“Sehari sebelum upacara berlangsung, tuan rumah akan mewakilkan seorang juruarah yang diberi kepercayaan memastikan upacara berjalan lancar.

“Juruarah bertanggungjawab meminang atau menjemput individu yang akan ditugaskan melakukan beberapa kerja sepanjang acara berlangsung seperti meminang hakim yang berperanan memastikan tiada kesilapan atau melanggar pantang larang.

“Kemudian juruarah meminang penghulu balai yang ditugaskan menjemput roh nenek moyang dan meminang pawang gelanggang untuk membuka gelanggang bagi mengelak gangguan makhluk halus,” katanya kepada Nuansa.

PEMBANTU Muzium Seni Kraf Orang Asli, Awizam Mat Tahar menunjukkan gendang iaitu alat muzik yang digunakan suku kaum Jah Jut.
PEMBANTU Muzium Seni Kraf Orang Asli, Awizam Mat Tahar menunjukkan gendang iaitu alat muzik yang digunakan suku kaum Jah Jut.

Katanya, langkah seterusnya ialah meminang tok mudim dengan tepak sirih. Proses itu perlu dilakukan kerana mengikut adat resam dahulu, tok mudim umpama raja.

Asmawi berkata, pada hari pertama upacara itu, 15 kanak-kanak yang akan dikhatankan bersama ibu bapa berkumpul sebelum malam untuk melaksanakan upacara pertama iaitu ‘menjemput’ roh nenek moyang.

PATUNG Sepili dan moyang adalah objek pemujaan suku Jah Hut.
PATUNG Sepili dan moyang adalah objek pemujaan suku Jah Hut.

Seterusnya ialah upacara membuka gelanggang pada sebelah petang apabila pawang gelanggang memulakan acara itu di halaman khatan dengan membaca mantera dan mengasap keris. Ia bertujuan menyeru semangat besi selain sebagai adat ketika membuka gelanggang.

Menurutnya, pawang gelanggang akan mengasapkan bendera sebelum ia dinaikkan beberapa pembantu. Mengikut kepercayaan mereka, upacara membuka gelanggang adalah untuk keselamatan, mengelakkan bencana dan gangguan daripada jin gelanggang serta jin tanah.

PAWANG gelanggang memulakan upacara membuka gelanggang dengan langkah silat.
PAWANG gelanggang memulakan upacara membuka gelanggang dengan langkah silat.

Katanya lagi, pawang gelanggang akan meneruskan acara membuka balai khatan yang dimulakan dengan bacaan mantera.

“Pawang gelanggang akan menabur bertih, menepung tawar dan bersilat di sekitar kawasan tiang seri rumah sebagai tanda ‘menghormati’ tiang berkenaan, jin balai dan tuan rumah.

“Selesai acara ini, gadis bersama payung berhias dan beberapa penduduk dengan alat muzik akan bersiap sedia untuk menyambut ketibaan tok mudim.

“Tok mudim dipayungkan dan diarak ke balai khatan dengan iringan muzik. Cara ini seolah-olah menyambut kedatangan raja. Bagi kaum Jah Hut, ia satu cara menunjukkan rasa hormat mereka kepada tok mudin yang akan melaksanakan tugas penting ini (mengkhatankan kanak-kanak),” katanya.

UPACARA menjemput tok mudim dan tok batin.
UPACARA menjemput tok mudim dan tok batin.

Oleh kerana Orang Asli Jah Hut daripada keturunan raja, kanak-kanak yang akan berkhatan diwajibkan memakai pakaian diraja diuruskan juruarah.

Tok mudim mula menjampi manik supaya kanak-kanak tidak berasa takut dan lemah semangat. Mereka akan diberikan makan sirih dan manik yang dijampi tok mudim berkenaan.

Pada hari kedua pula Asmawi berkata, juruarah dan tok mudim akan membawa kanak-kanak itu ke sungai berhampiran untuk berendam.

KANAK-KANAK berendam dalam sungai selama tiga jam sebelum berkhatan.
KANAK-KANAK berendam dalam sungai selama tiga jam sebelum berkhatan.

Mengikut kepercayaan komuniti berkenaan, ia bagi membuang segala keburukan yang ada dalam diri kanak-kanak dan mengurangkan kesakitan ketika berkhatan.

“Selesai berendam, kanak-kanak akan dibawa ke kawasan lapang untuk memakai lengkap pakaian diraja termasuk tengkolok dan keris bagi menandakan mereka adalah Orang Asli berketurunan Raja Pagar Ruyung.

TOK mudim menjampi sungai bagi menghalang penghuninya mengganggu kanak-kanak yang berendam.
TOK mudim menjampi sungai bagi menghalang penghuninya mengganggu kanak-kanak yang berendam.

“Kanak-kanak akan beratur masuk ke dalam ruang berkhatan dengan membawa tempurung berisi tanah yang sudah dijampi.

“Selepas dikhatankan, kanak-kanak tidak dibenarkan keluar dari ruang berkhatan hinggalah hari bercukur rambut iaitu pada hari ketiga kecuali untuk membuang air,” katanya.

BERCUKUR rambut pada hari ketiga selepas berkhatan.
BERCUKUR rambut pada hari ketiga selepas berkhatan.

Katanya, pada hari ketiga bendera diturunkan bagi menandakan majlis berkhatan sudah selesai. Mengikut kepercayaan kaum Jah Hut, muzik tidak boleh dihentikan sepanjang upacara itu berlangsung bagi mengiringi roh dan jin pulang ke tempat asal.

Acara terakhir ialah jamuan makan bagi meraikan kejayaan mengadakan majlis itu. Majlis berkhatan adalah perayaan terbesar bagi suku kaum itu.

MANDI dalam sungai selepas bercukur untuk membersihkan diri.
MANDI dalam sungai selepas bercukur untuk membersihkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 11:19 AM