LELAKI yang dilaporkan hilang di Kampung Kampung Sengkuang, Sri Gading,  sejak dua hari lalu ditemui mati dalam keadaan terapung di Sungai Bindu, berdekatan Parit Imam,  Tongkang Pechah, Batu Pahat. FOTO Ihsan Pembaca
LELAKI yang dilaporkan hilang di Kampung Kampung Sengkuang, Sri Gading, sejak dua hari lalu ditemui mati dalam keadaan terapung di Sungai Bindu, berdekatan Parit Imam, Tongkang Pechah, Batu Pahat. FOTO Ihsan Pembaca
Mohamed Farid Noh


LELAKI yang dilaporkan hilang di Kampung Kampung Sengkuang, Sri Gading, sejak dua hari lalu, ditemui mati dengan mayatnya terapung di Sungai Bindu, berdekatan Parit Imam, Tongkang Pechah, dekat Batu Pahat, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam tadi, mayat mangsa yang dikenal pasti sebagai Mohd Reziki Mohd Yasin, 36, ditemui terapung di Sungai Bindu oleh penternak lembu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, penternak lembu berkenaan terus menghubungi polis selepas menemui mayat yang terapung itu.

“Ketika kejadian, saksi berada di padang ragut untuk mengambil lembu yang dipeliharanya tidak jauh dari sungai berkenaan.

“Gerakan mencari dan menyelamat dijalankan oleh pihak polis bersama anggota Bomba dan Penyelamat Batu Pahat dan pada 9 malam, mayat mangsa yang hanyut ditemui berdekatan jambatan Sungai Bindu.

“Keluarga mangsa ada membuat laporan polis berkaitan kehilangan mangsa dua hari lalu dengan motosikal yang sering digunakan mangsa dijumpai di Jambatan Kampung Sengkuang, Sri Gading dalam keadaan berkunci, iaitu kira-kira 9 kilometer dari tempat mayat mangsa ditemui.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azhan berkata, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes berkenaan sebagai kes mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 1:16 PM