ANGGOTA Maritim Malaysia membawa naik mayat di Jeti Kuala Kedah untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, hari ini. Foto Ihsan APMM
ANGGOTA Maritim Malaysia membawa naik mayat di Jeti Kuala Kedah untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, hari ini. Foto Ihsan APMM
Aizat Sharif


MAYAT lelaki tanpa kepala ditemui terapung di perairan Pulau Bunting dekat Yan, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, mayat itu ditemui sekitar 6.3 batu nautika barat Pulau Bunting oleh nelayan.

“Pihak kami menerima laporan jam 9 pagi daripada nelayan yang memaklumkan penemuan mayat lelaki tanpa kepala ketika melalui kawasan itu.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah kemudian menggerakkan sebuah bot bersama empat anggota ke lokasi sebelum membawa naik mayat berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Mahmad Faizal berkata, mayat kemudian dibawa ke Jeti Kuala Kedah sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 5:13 PM