MAYAT lelaki tanpa identiti ditemui terapung oleh nelayan di perairan Kuala Kedah, hari ini. FOTO ihsan Maritim Malaysia.
MAYAT lelaki tanpa identiti ditemui terapung oleh nelayan di perairan Kuala Kedah, hari ini. FOTO ihsan Maritim Malaysia.
Zuliaty Zulkiffli


MAYAT lelaki tanpa sebarang identiti ditemui terapung kira-kira 0.5 batu nautika dari muara Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 8.05 pagi daripada nelayan yang kebetulan melalui kawasan itu.

Beliau berkata, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah kemudian menggerakkan aset Bot Kilat 7 bersama empat anggota ke lokasi penemuan.

“Mayat terbabit dibawa ke Jeti Feri Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam tentang kehilangan ahli keluarga dan mayat itu disyaki warga asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahmad Faizal berkata, sekiranya orang ramai ada kehilangan ahli keluarga, mereka diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Beliau berkata, mayat itu dipercayai berada di laut kurang 24 jam sebelum ditemui dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 2:24 PM