AZIZAH menunjukkan sijil kematian serta gambar arwah Haron Daik bagi mencari warisnya berkaitan urusan tanah ketika dijumpai di Taman Datuk Tamby Chik Karim, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Rasul Azli Samad.
AZIZAH menunjukkan sijil kematian serta gambar arwah Haron Daik bagi mencari warisnya berkaitan urusan tanah ketika dijumpai di Taman Datuk Tamby Chik Karim, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Rasul Azli Samad.
Noor Azurin Mohd Sharif


WANITA meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris kepada ayah tirinya, Haron Daik yang sudah meninggal kira-kira enam tahun lalu, bagi tujuan proses pembelian tanah.

Azizah Ahmad, 48, mendakwa tanah pusaka di Mukim Tanjong Kling, Melaka, adalah milik arwah ibunya, Munah Baba yang sudah meninggal dunia kira-kira 23 tahun lalu.

Menurutnya, semua penama iaitu seramai 17 orang termasuk waris abang dan kakak tirinya yang sudah meninggal dunia bersetuju menyerahkan hak mereka kecuali waris anak dan isteri Haron yang baharu dan tidak dapat dikesan sehingga kini.

“Arwah ibu dan bapa tiri sudah bercerai lama. Selepas abang tiri, Abu Bakar Haron dan kakak tiri, Rokayah Haron meninggal dunia, ayah tiri, Haron pula meninggal.

“Jadi, dia (arwah Haron) ada hak ke atas harta peninggalan iaitu bahagian dalam tanah ini.

“Jadi saya selaku pentadbir bahagian tanah dan pembeli, punya rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini kerana ia membabitkan arwah ibu. Biarlah nama arwah ibu tidak lagi disebut-sebut selepas ini,” katanya ketika ditemui NSTP di Ayer Keroh, hari ini.

Azizah yang bekerja di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, berkata usahanya mendapatkan 17 waris asal termasuk menjejaki waris ayah tirinya sudah dilakukan lebih empat tahun lalu.

“Saya perlu mencari mereka (waris ayah tiri) kerana saya difahamkan ayah tiri ada berkahwin lain selepas bercerai dengan arwah ibu bagi melancarkan proses pembelian tanah ini.

“Saya harap waris terbabit atau sesiapa yang mengenali waris kepada arwah ayah tiri dapat menghubungi saya di talian 019-6875560 dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 3:50 PM