AZIZAH Abdul Aziz bersama cucunya. FOTO NURALIAWATI SABRI
AZIZAH Abdul Aziz bersama cucunya. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Melaka: Meskipun usianya semakin meningkat, namun dengan kudrat yang masih ada, warga emas ini tetap setia menjaga empat cucu termasuk seorang menghidap kanser otak manakala dua lagi orang kurang upaya (OKU).

Azizah Abdul Aziz, 67, kini mengambil tanggungjawab menjaga kesemua cucunya selepas ibu kanak-kanak itu meninggal dunia akibat penyakit usus, September lalu.

Menurutnya, cucu sulung Amyamira Abdullah, 20, adalah OKU lembam manakala cucu ketiga Aish Alaudin, 8, pula autism dan cucu bongsu Aish Zikri, 7, disahkan menghidap kanser otak sejak berusia tiga tahun.

"Selepas ibu mereka pergi, saya yang menjaga mereka termasuk menguruskan persekolahan. Insya-Allah selagi dipinjam kesihatan yang baik dan masih bernafas, saya akan jaga mereka.

"Namun apa yang membimbangkan saya adalah mengenai rawatan Aish Zikri selain tahap kesihatannya apabila kini penglihatan mata kirinya rosak akibat penyakit dihidapinya," katanya selepas menerima kunjungan orang ramai yang menyumbang barangan keperluan asas serta wang tunai di rumahnya di Taman Datin Fatimah, Bukit Rambai, di sini, kelmarin.

Menurutnya, bagi menampung perbelanjaan, dia kini berniaga nasi ayam dengan keuntungan kira-kira RM50 sehari.

"Meskipun ia bukan tugas mudah untuk mengurus cucu serta mencari sumber pendapatan namun saya reda kerana mereka adalah amanah buat saya.

"Kadangkala kalau Nurkhai­rini (cucu kedua) ada kelas tambahan dan tidak ada yang boleh menjaga Aish Zikri, saya akan membawanya bersama berjalan kaki ke kedai," katanya.

Azizah berkata, bapa kanak-kanak itu yang tiada pekerjaan tetap ada membantu menjaga Aish Zikri termasuk membawanya ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan.

Katanya, dia kini agak rungsing memikirkan punca pendapatan pada Ramadan nanti memandang sepanjang bulan itu, dia tidak berniaga.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 1:35 PM