SEJUMLAH dadah yang dirampas daripada suspek (gambar kecil) di Pendang, semalam. FOTO Ihsan PDRM
SEJUMLAH dadah yang dirampas daripada suspek (gambar kecil) di Pendang, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI yang pernah ditahan tiga kali akibat kesalahan dadah nyata masih gagal membuang tabiat buruk itu apabila ditahan kali keempat ketika disyaki cuba menjual dadah di Kampung Sawa Besar, Pendang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, lelaki, 31, itu ditahan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor pada 6 petang dan dikatakan sedang menunggu pelanggan.

Menurutnya, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang memeriksa lelaki menemui dadah jenis heroin dan syabu bernilai lebih RM2,000.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg kecil yang diselitkan pada pinggang kanannya, polis menemui empat peket plastik lutsinar dan empat keratan straw lutsinar panjang berisi serbuk ketulan putih disyaki heroin anggaran beratnya 70.30 gram.

“Selain itu, anggota kami turut menemui satu peket lutsinar berisi serbuk hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.13 gram," katanya.

Fadzil berkata, saringan ujian air kencing terhadap tokan itu mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine.

Katanya, heroin yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,000 manakala syabu pula dianggarkan bernilai RM150.

“Lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 11:40 AM