GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


ANAK jahanam. Itu gelaran layak diberikan kepada lelaki yang sanggup menetak bapanya dengan parang hanya kerana dilarang menggunakan motosikal di Kampung Tersusun Bukit Chawi, di Kampung Gajah, Sabtu lalu.

Kejadian pada jam 2 petang itu, menyebabkan Bahari Itam, 90, terpaksa menerima 12 jahitan di kepala, lengan dan tapak tangan akibat diserang anaknya yang berusia 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa didatangi suspek yang mahu menggunakan motosikalnya.

Menurutnya, ia menyebabkan berlaku pertengkaran antara dua beranak itu.

“Suspek kemudian berlari ke dalam biliknya dan mengambil sebilah parang sebelum terus menetak kepala, lengan kanan dan tapak tangan kiri bapanya.

“Suspek kemudian terus melarikan diri dengan menaiki motosikal miliknya, manakala bapanya mendapatkan rawatan di Kesihatan Ulu Dedap Seberang Perak,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, mangsa menerima tujuh jahitan di kepala dan lima jahitan di tapak tangan.

“Susulan kejadian, polis menahan mangsa pada keesokan harinya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek positif methaphatemine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 5:29 PM