Mohd Sabran Md Sani


SEORANG lelaki warga Bangladesh bersama tiga lelaki tempatan yang terbabit dengan kes penculikan dan pemerasan dua pekerja binaan warga Bangladesh pada 24 Oktober lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Tertuduh, Md Ismail, 27, bersama Kamalaganthan, 31, berdepan pertuduhan pertama mencuri wang berjumlah RM12,000 milik warga Bangladesh, Mohd Khalil dalam sebuah bangunan asrama pekerja di Forest City Tanjung Kupang pada 2 pagi 24 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh bersama dua tertuduh lain, M L Subramaniam, 30, dan S Sakhthi Dasan, 26, turut berdepan dua pertuduhan lain termasuk mengurung Mohd Khalil dan seorang lagi warga Bangladesh, Mohd Abdullah dan menyebabkan cedera ke atas mangsa sama dengan menggunakan besi.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengurung dua mangsa sama dari asrama pekerja di Forest City ke Pencawang TNB terbengkalai selama dua hari bagi maksud memeras wang mangsa yang dikurung pada 2 pagi, 24 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa menyebabkan cedera terhadap mangsa sama dengan menggunakan besi pada 7.50 pagi, 26 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan di Jalan Manggis 1, Bandar Bistari Perdana, Taman Scientex, Pasir Gudang.

Keempat-empat tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Pada masa sama, tiada pengakuan direkodkan terhadap Md Ismail yang berdepan tiga pertuduhan itu.

Mahkamah menetapkan 26 November ini sebagai tarikh lantikan jurubahasa Bangladesh dan sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Muhamad Dan.

Terdahulu pada prosiding berlangsung 10.43 pagi itu, semua tertuduh ditawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dihadapi.

Kes berkenaan mendapat liputan media apabila Polis Johor berjaya menyelamat dua pekerja binaan warga Bangladesh selepas diculik sekumpulan lelaki yang turut menuntut wang tebusan berjumlah RM40,000 daripada keluarga mangsa.

Dalam kejadian 7.50 pagi itu, semua mangsa culik berkenaan diselamatkan polis selepas dikurung di dalam rumah pencawang terbiar dalam kawasan belukar di Jalan Manggis 1, Bandar Bestari Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 6:09 PM
TIGA lelaki warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan penculikan dan pemerasan dua pekerja binaan warga Bangladesh pada 24 Oktober lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
TIGA lelaki warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan penculikan dan pemerasan dua pekerja binaan warga Bangladesh pada 24 Oktober lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin.