Wanirahanim mengaku tidak bersalah  di   Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Wanirahanim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang ibu tunggal kepada tiga anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas tuduhan menculik dan mengurung seorang gadis secara paksa untuk dijadikan pelacur.

Tertuduh, Wanirahanim A Razak, 24, dari Kuantan, Pahang mengangguk faham ketika dua pertuduhan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (KK) kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah dan Seksyen 372 (1) (b) KK kerana menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan yang dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menculik mangsa, Noraini Abdul Razak yang ketika kejadian berusia 18 tahun dan mengurung mangsa secara salah dan rahsia di bilik sebuah hotel di Kuala Ibai, jam 11.15 pagi pada 3 Oktober 2012.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bekerja di sebuah salon kecantikan di Kuantan didakwa mengikut Seksyen 365 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas menahan secara salah mangsa dengan niat untuk digunakan sebagai pelacur di alamat, masa dan hari sama.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 372 (1)(b) KK itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Hakim Rofiah Mohamad menetapkan 6 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 9:57 AM