ANGGOTA bomba membantu untuk mengangkat mayat gadis yang maut dalam kemalangan di Kota Kinabalu, semalam. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membantu untuk mengangkat mayat gadis yang maut dalam kemalangan di Kota Kinabalu, semalam. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Nazllie Zainul


REMAJA perempuan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas di hadapan sebuah stesen minyak di Kilometer 5, Jalan Tuaran di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa Masni Apin, 15, menunggang motosikal bersama pembonceng lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Ahmad Binsar, 30.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati remaja perempuan itu menunggang motosikal dari arah Likas menghala ke Kota Kinabalu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas sendiri di hadapan stesen minyak. Akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) untuk bedah siasat, manakala pembonceng yang parah dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 2:49 PM