HIASAN
HIASAN
Rosliza Mohamed


TUKANG masak kerugian hampir RM2,000 selepas beg duit berada di dalam raga motosikal dilarikan lelaki dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Pulau Melaka, Kota Bharu, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 10 pagi itu mangsa berusia 42 tahun tidak cedera.

Selepas satu jam kemudian suspek yang menunggang motosikal Modenas terbabas dan meninggalkan kenderaan terbabit di Simpang Empat Kampung Cherang, di Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata ketika kejadian mangsa menunggang motosikal bersendirian dari Pulau Melaka menghala ke Kota Jembal.

Beliau berkata, pada masa sama datang motosikal ditunggang lelaki dari arah belakang bertindak meragut beg duit yang berada dalam raga motosikal mangsa.

“Suspek kemudian memecut laju sebelum terbabas dan melarikan diri di Jalan Cherang pada 11 pagi.

“Dalam beg duit mangsa mengandungi gelang emas, sejumlah wang tunai dan dokumen pengenalan diri serta kad bank anggaran bernilai RM2,000,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.

Katanya, gerakan mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 6:28 PM