KEADAAN mayat mangsa. Gambar kecil (kuih gelang ditemui di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN mayat mangsa. Gambar kecil (kuih gelang ditemui di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis
Junaidi Ladjana


LELAKI yang cuba menyelamatkan kuih gelang yang dibelinya untuk juadah berbuka daripada terjatuh ketika sedang menunggang motosikal, maut apabila kenderaan itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Jalan Lintas berhampiran Taman Millenium, di Kot Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian 6.40 petang itu, mangsa Harris Abdullah, 24, beralamat di Kampung Kiamsam, Labuan, dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang bekerja di sebuah stesen minyak di Jalan Lintas dikatakan pergi ke bazar di Putatan untuk membeli kuih bagi juadah berbuka puasa bersama rakan sekerjanya.

Ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya, terdapat saksi yang melihat mangsa cuba menyelamatkan plastik berisi kuih gelang daripada terjatuh yang disimpan di bakul motosikal yang ditunggangnya.

Berikutan itu, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari bazar di Putatan menuju ke sebuah stesen minyak di Jalan Lintas.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

"Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth (HQE)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chandra berkata, siasatan masih diteruskan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Kota Kinabalu.

"Mayat mangsa sudah di hantar ke HQE 1 untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 4:02 PM