RAJA Shahrom (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Zulkifli (kiri) dengan Eng Lai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, hari ini. Foto RASUL AZLI SAMAD
RAJA Shahrom (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Zulkifli (kiri) dengan Eng Lai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, hari ini. Foto RASUL AZLI SAMAD
Noor Azurin Mohd Sharif


ORANG ramai diminta mengambil peluang menjelaskan saman trafik berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus.

Pengumuman itu dibuat Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah, yang menyeru orang ramai ke mana-mana balai polis trafik negeri bagi menjelaskan saman tertunggak.

“Kita menawarkan diskaun bagi saman trafik sehingga 50 peratus bermula hari ini sehingga Jumaat ini dan orang ramai perlu mengambil peluang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri baharu Asisten Komisioner Beh Eng Lai yang menggantikan Senior Asisten Komisioner Zulkifli Che Wail di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang, hari ini.

Zulkifli yang menjalankan tugas selama dua tahun di Melaka akan berpindah ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Skuad Taktikal Khas 1 (Stafoc).

Manakala Eng Lai, anak jati Melaka sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Skudai, Johor. Beliau berkhidmat dalam pasukan polis sejak 14 September 1986 sebagai Inspektor Polis.

Sementara itu, Raja Shahrom berkata, sempena perayaan Deepavali, polis meminta orang ramai berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

“Kita harap pemandu berwaspada, dapatkan tidur mencukupi dan berhati-hati ketika memandu.

“Bagi mereka yang meninggalkan rumah, boleh maklumkan kepada balai polis berdekatan supaya anggota polis boleh membuat rondaan bagi memastikan rumah dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 5:46 PM