AZMAN (berdiri tengah) melakukan pemeriksaan dokumen terhadap warga asing yang ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini. FOTO ihsan DBKL.
AZMAN (berdiri tengah) melakukan pemeriksaan dokumen terhadap warga asing yang ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini. FOTO ihsan DBKL.
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBUAH pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, membina lorong ‘tikus’ khas sebagai persiapan untuk pelayan pelanggan (GRO) melarikan diri ketika diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar dalam serbuan dilakukan di pusat hiburan berkenaan bermula 1 hingga 4.30 pagi hari ini.

Serbuan dilakukan penguat kuasa terdiri Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika serbuan dilakukan, beberapa GRO di pusat hiburan terbabit cuba melarikan diri dengan masuk ke dalam lorong tikus berkenaan yang terletak di tingkat dua, namun dihalang anggota penguat kuasa.

Pengarah Penguatkuasa Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, pihaknya menahan 37 GRO warga Thailand dan Vietnam selain sembilan lelaki warga Bangladesh berusia 20 hingga 35 tahun dalam operasi itu.

“Ketika serbuan dilakukan, ada GRO cuba melarikan diri dengan menggunakan lorong tikus yang hanya dapat dilalui satu orang saja pada satu-satu masa kerana laluan sempit.

“Lorong tikus itu adalah laluan pintas menuju ke bumbung bangunan yang terletak di tingkat sembilan. Namun, tindakan cekap anggota penguat kuasa bertugas berjaya menghalang mereka daripada meloloskan diri,” katanya.

Azman berkata, pihaknya turut menahan tiga pengunjung premis berkenaan yang beragama Islam selepas didapati mabuk.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati premis terbabit menyalah guna lesen kerana beroperasi lebih masa dibenarkan seperti termaktub dalam Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992.

“Malah, arak dijual tidak diwartakan dalam duti pihak kastam. Pada masa sama, pihak LHDN turut menyiasat premis berkenaan yang dianggarkan mengaut keuntungan RM800,000 sebulan.

“Semua warga asing yang ditahan termasuk GRO diserahkan kepada JIM, manakala tiga pengunjung beragama Islam yang didapati mabuk diserahkan kepada JAWI untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 7:26 PM