GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nor Amalina Alias

Bachok: Lelaki berusia 37 tahun dan anaknya berusia empat tahun dikhuatiri hilang selepas menaiki jet ski di sungai berdekatan Kampung Pengkalan Baru, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, ahli keluarga mulai curiga apabila dua beranak itu tidak pulang ke rumah selepas bermain jet ski di sungai itu.

Menurutnya, ahli keluarga mengambil mengambil keputusan untuk mencari mereka di sekitar kawasan sungai berkenaan.

"Bagaimanapun ahli keluarga hanya menemui jet ski yang dinaiki dua beranak itu di kawasan pokok nipah manakala mangsa dan anaknya tiada di situ.

"Bimbang keselamatan mereka, ahli keluarga menghubungi pihak bomba dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan.

"Bagaimanapun, kami belum dapat memutuskan sama ada mangsa dan anaknya lemas atau sebaliknya kerana tiada saksi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Yus Heary berkata, setakat ini operasi SAR disertai bomba balai Bachok, Pengkalan Kubor, Pengkalan Chepa dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 9:25 PM