GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SATU sindiket pengedaran ‘jus khayal’ yang menyasarkan pengunjung kelab hiburan di Kuching tumpas selepas seorang lelaki ditahan di Jalan Lapangan Terbang, di Kuching, semalam.

Pada kejadian 11.30 pagi itu, suspek berusia 29 tahun yang berkerja sebagai jurujual itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

’Jus khayal’ ini sering menjadi pilihan pengunjung kelab hiburan sebagai minuman tenaga yang membolehkan mereka berhibur untuk tempoh yang lama tanpa henti.

Ketua JSJN IPK Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 12 paket jus khayal berkenaan yang dianggarkan bernilai RM5,400.

Menurutnya, suspek dipercayai sudah menjalankan kegiatan ini sejak Ogos lalu dan menjadikan kelab hiburan sekitar bandar ini sebagai lokasi untuk menjual jus berkenaan.

“Risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu membawa kepada serbuan di sebuah rumah dihuni suspek. Pasukan serbuan kemudiannya dibawa suspek ke belakang rumah dan menemui sebuah kotak dibalut pita pelekat.

“Suspek yang bergerak sendirian itu akan menjual jus berkenaan di kelab hiburan bagi membolehkan pengunjung yang berhibur mendapat kesan khayal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahar berkata, polis turut merampas sebuah Perodua Kelisa yang dianggarkan bernilai RM12,000 milik suspek untuk siasatan lanjut.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 2:46 PM