SERBUK ekstasi yang disorokkan di dalam bungkusan minuman dianggarkan bernilai RM2,400 yang dirampas dari suspek di Kuching. FOTO Ihsan PDRM
SERBUK ekstasi yang disorokkan di dalam bungkusan minuman dianggarkan bernilai RM2,400 yang dirampas dari suspek di Kuching. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TINDAKAN lelaki menyimpan serbuk ekstasi dalam bungkusan minuman berjaya dihidu polis, kelmarin.

Peniaga berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak 11.45 pagi di tempat letak kereta kondominium di Kuching.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, serbuan itu dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat risikan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, pemeriksaan badan suspek pada mulanya tidak menemui sebarang bahan terlarang.

“Selepas disoal siasat, suspek kemudian membawa polis ke kondominiumnya dan hasil pemeriksaan lanjut menemui bungkusan plastik di dalam rumah berkenaan.

“Selepas plastik berkenaan dibuka, polis menemui lapan paket serbuk minuman berisi serbuk disyaki ekstasi dianggarkan bernilai RM2,400,” katanya, hari ini.

Sahar berkata, suspek mencampurkan ekstasi bersama serbuk minuman berkenaan bagi mengaburi mata polis tentang aktiviti haramnya.

Beliau berkata, suspek menjual serbuk berkenaan kepada pengunjung kelab malam sekitar Kuching sejak akhir 2018.

“Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung.

“Penahanan suspek berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran ekstasi di daerah ini, namun usaha mengesan pengedar lain giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 11:53 AM