Nor Amalina Alias


ANGKARA khianat, 12 ekor lembu milik tiga penternak mati diracun dalam kejadian di Kampung Beoh, Sri Kemunting, di Bachok, hari ini.

Pada kejadian 8.30 pagi, tujuh ibu lembu yang bunting dan seekor anak lembu ditemui mati.

Difahamkan, ia menyebabkan penternak kerugian lebih RM35,000.

Binatang itu mati ditemui dalam keadaan mulut berbuih dan berdarah di bahagian punggung dipercayai akibat diberi minum air bercampur baja padi.

Enam lembu dimiliki Siti Fatimah Jusoh, 62; Mohd Mahadi Mohd Idris, 39, (lima ekor) dan seekor lembu milik Sidek Salleh, 80.

Fatimah berkata, dia mengetahui kejadian itu daripada seorang penduduk yang melalui ladang sawit tempat lembu itu dilepaskan untuk mencari makan.

“Penduduk kata dia nampak lembu kami menggelupur dengan mulut berbuih. Apabila saya sampai di ladang, kesemua lembu sudah mati,” katanya ketika di temui, hari ini.

Fatimah berkata, dia terkilan kerana dua daripada enam lembunya yang mati itu sudah bunting dan dijangka melahirkan anak sebulan lagi.

Katanya, lembu itu disyaki diracun kerana mereka menemui enam baldi cat berisi air yang dicampur baja gula (baja padi) dipercayai untuk membunuh ternakan mereka di kawasan sekitar ladang.

“Kami pun tak tahu motif lembu kami dibunuh sebegini sebab sudah lebih 15 tahun saya pelihara lembu dan inilah kejadian pertama kali berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:08 PM