PERANGKAP yang dipasang Perhilitan untuk menangkap harimau. FOTO Rosli Ilham
PERANGKAP yang dipasang Perhilitan untuk menangkap harimau. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Seramai 30 penternak lembu di Felda Empat dekat sini, melahirkan kebimbangan selepas banyak ternakan mereka menjadi mangsa serangan harimau.

Sehubungan itu, mereka merayu kepada pihak berkuasa supaya dapat menyelesaikan segera isu serangan haiwan liar terbabit yang berlaku sejak tiga tahun lalu.

Penternak, Rosham Rosdi berkata, serangan bermula awal tahun ini menyebabkan 20 ekor lembu penternak termasuk miliknya terkorban sehingga mereka mengalami kerugian hampir RM100,000.

Menurutnya, sebelum ini, harimau terbabit menyerang lembu penduduk yang bermain di kawasan berhampiran hutan dan sejak awal tahun ini, harimau itu mula berani membaham ternakan sehingga ke dalam kandang.

"Kejadian terbaru berlaku kelmarin, apabila dua ekor lembu hilang, manakala seekor lagi ditemui mati di dalam ladang dengan kesan dibaham harimau pada bahagian leher.

"Kejadian itu menyebabkan kami (penternak) terpaksa mengadakan kawalan di kandang lembu masing-masing pada waktu malam kerana bimbang ternakan kami diserang lagi," katanya.

Katanya, penternak berharap supaya tindakan segera dilakukan pihak berkuasa supaya harimau itu dapat ditangkap.

"Kami meminta harimau itu segera ditangkap kerana kami (penternak) tidak mampu lagi menanggung kerugian termasuk bimbang harimau itu mengganggu keselamatan penduduk," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya percaya harimau itu datang dari Hutan Simpan Rasau Kerteh yang terletak berhampiran ladang sawit milik peneroka.

Menurutnya, satu perangkap dipasang di situ dan berharap harimau terbabit dapat ditangkap dengan segera.

"Satu lagi perangkap akan dipasang dalam masa terdekat dan kami akan melakukan pemantauan dan rondaan bagi memastikan keselamatan penternak dan penduduk di situ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 9:07 AM