HUNG Boon. FOTO Ihsan Polis
HUNG Boon. FOTO Ihsan Polis
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


POLIS memburu tahanan lelaki yang melarikan diri dari Lokap Balai Polis Taiping, Taiping, semalam.

Lelaki itu, Pang Hung Boon, beralamat No 18, Jalan 20, Taman Desa Jaya, Kamunting.

Dia ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah kelmarin dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata, ketika kejadian jam 7.33 malam itu, tiga anggota ditugaskan mengawal lokap.

Menurutnya, lima minit sebelumnya, pembekal makanan memasuki kawasan itu untuk membekalkan makanan malam kepada tahanan.

“Ketika seorang anggota membuka membuka pintu utama bagi membolehkan pembekal makanan keluar dari lokap itu, tahanan terbabit meluru keluar.

“Dia kemudian melarikan diri ke arah parkir bengkel kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

“Tahanan tidak bergari dan hanya berseluar warna ungu itu kemudian memanjat pagar balai dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini

Mohamad berkata, anggotanya cuba mengejar dan menangkap tahanan itu namun gagal.

Sehingga kini, polis giat mengesan tahanan itu termasuk menggunakan khidmat Unit Pengesan K9 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

“Orang awam yang terserempak atau mempunyai maklumat berhubung tahanan itu diminta segera melaporkan kepada balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan pihak IPD Taiping di talian 05-8291222“, katanya.

Menurutnya, pihaknya menasihati orang ramai atau mana-mana individu atau pihak supaya tidak melindungi tahanan berkenaan.

“Mereka ini boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman berat, jika berbuat demikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 8:57 PM