Ronald (kanan) dan Wong semasa bercakap kepada media di Parlimen. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ronald (kanan) dan Wong semasa bercakap kepada media di Parlimen. FOTO Zunnur Al Shafiq
Nur Lela Zulkipli


JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjangka laporan siasatan berkenaan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaporkan hilang dapat diselesaikan pada sidang kali ini.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, prosiding hari ini membabitkan sesi menyoal kali kedua bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

“Prosiding hari ini lebih singkat kerana PAC hanya bertanyakan soalan susulan berdasarkan keterangan pertama Irwan.

“Pada siasatan tuntutan pembayaran balik GST, kita berharap akan dapat membuat kesimpulan dan menutup kes ini sebelum akhir sidang parlimen ini.

“Selepas menyoal saksi terakhir iaitu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kita berharap dapat menutup kes ini dan mengemukakan hasilnya kepada Parlimen,” katanya ketika ditemui media di Parlimen hari ini.

Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh pula berkata PAC selesai menyoal Mohd Irwan.

Beliau berkata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah individu seterusnya yang akan disoal oleh PAC berhubung perkara berkenaan, esok.

“Kita sudah panggil Mohd Irwan sebanyak dua kali mendapatkan maklumat dan keterangan yang diperlukan.

“Pada petang ini, kita akan panggil Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam dan esok pula giliran Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sebaik selesai sesi itu di bilik mesyuarat jawatankuasa PAC di Bangunan Parlimen.

Siasatan PAC sebelum ini juga membabitkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Wong berkata, PAC dalam usaha untuk membuka prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada orang ramai yang dijangka bermula Isnin ini, selagi ia tidak menyentuh isu keselamatan.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat halangan undang-undang seperti Perintah 85 Perintah Tetap dan Seksyen 9 Akta Hak dan Keistimewaan Parlimen yang kini menghalang daripada membuka prosiding PAC kepada orang ramai.

“Kita masih berusaha ke arah itu (membuka mesyuarat PAC) dan merasakan bahawa ia harus terbuka bagi menuju Parlimen dunia pertama,” katanya.

Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang antara 20 saksi yang akan dipanggil dalam prosiding 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 3:28 PM