DR Madinah dipanggil semula untuk beri keterangan  laporan audit 1MDB.
DR Madinah dipanggil semula untuk beri keterangan laporan audit 1MDB.
Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), semalam menerima bukti daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad bagi mengesahkan berlaku pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata Madinah mempertahankan kenyataan medianya sebelum ini mengenai berlaku pengguguran beberapa perenggan dalam laporan audit 1MDB itu.

Kiandee berkata, PAC turut menerima beberapa nama baharu yang akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan laporan audit syarikat pelaburan strategik negara itu.

“Seperti yang beliau nyatakan sebelum ini, Madinah memberitahu PAC laporan audit 1MDB itu diubah dan beliau memberi keterangan serta bukti bagi menunjukkan laporan audit itu diubah.

“Saya tak boleh kongsi bukti diberikan, tetapi kami memang menjangkakan Madinah akan memberi keterangan yang selari dengan kenyataan media beliau.

“Perjalanan prosiding hari ini memuaskan hati PAC dan kami menerima banyak keterangan daripada Madinah dan pasukannya mengenai isu disiasat iaitu sama ada laporan audit 1MDB itu diubah atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan prosiding PAC berhubung Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan Madinah di bangunan Parlimen, semalam.

Pada 25 November lalu, Madinah dalam satu kenyataan media mendedahkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 11:18 AM