SEBAHAGIAN penaja dan rakan strategik yang terbabit dalam MAHA 2018.
SEBAHAGIAN penaja dan rakan strategik yang terbabit dalam MAHA 2018.
Mohamad Hussin

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang bakal diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, pada 22 November hingga 2 Disember depan masih mengekalkan tema ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’.

Ia menggariskan kepentingan untuk mempertahankan kedaulatan makanan sebagai asas kekuatan negara.

Selain kekuatan ketenteraan dan diplomatik, kemandirian masa depan Malaysia turut bergantung kepada kebolehan untuk mencapai 'kemerdekaan' dalam aspek pengeluaran makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, bagi memastikan masa depan pengeluaran makanan, kehadiran generasi pelapis yang mempunyai kemahuan dan kemahiran sangat penting dalam memastikan bidang pertanian dan industri asas tani (IAT) terus maju dan mampu menegakkan kedaulatan negara.

Beliau berkata, MAHA 2018 juga akan menonjolkan kepentingan teknologi dan inovasi pertanian (agroteknologi) dalam industri agromakanan negara.

“Melalui kecanggihan agroteknologi, lebih banyak produk pertanian dapat dihasilkan dengan lebih efektif dan secara tidak langsung ia dapat menerajui kedaulatan makanan negara.

“Di samping itu, MAHA 2018 akan turut menampilkan durian, nanas dan kelapa sebagai sumber rezeki baru pertanian yang mampu melahirkan lebih ramai usahawan.

“Mereka (usahawan) juga mampu muncul sebagai jutawan dengan menjana kekayaan menerusi hasil pertanian mereka,” katanya selepas majlis 50 Hari Countdown MAHA 2018 di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di Wisma Tani, Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Sallehuddin Hassan.

SEBAHAGIAN pengurusan dan agensi di bawah MOA turut hadir.
SEBAHAGIAN pengurusan dan agensi di bawah MOA turut hadir.

Salahuddin berkata, seperti biasa MAHA 2018 akan menampilkan 13 pavilion negeri membabitkan identiti, kebudayaan, pameran dan juadah makanan negeri yang boleh dinikmati pengunjung.

“Seperti MAHA yang lalu, semua laman seperti laman perikanan, laman nanas, laman ternakan dan sebagainya akan turut membuat penampilan semula supaya pengunjung MAHA dapat menikmati sendiri pengalaman pertanian secara praktikal.

“Satu lagi tarikan MAHA yang sentiasa popular adalah jualan segar hasil pertanian dan makanan antaranya ialah 501 menu juadah popular dari seluruh negeri, produk IAT, buah-buahan dan sayuran segar, anak pokok dan bunga-bungaan, ikan serta makanan laut segar.

“Gerai jualan juga dibuka untuk tempahan dan hingga ke hari ini, daripada 1,500 gerai yang disediakan 80 peratus sudah ditempah,” katanya.

Menurutnya, pembabitan sektor swasta sebagai rakan strategik turut digalakkan. Melalui kejayaan MAHA 2016 iaitu jumlah pengunjung yang mencecah 3.7 juta orang.

“Seramai 14 penaja dan rakan strategik dapat ditarik dan mungkin akan bertambah pada masa akan datang untuk terbabit dalam menyokong MAHA 2018.

“Antara rakan strategik dan penaja MAHA 2018 adalah Pertubuhan Peladang Kawasan (NAFAS), PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), CIMB Islamic Bank Berhad, Nestle Malaysia Berhad dan Malaysia Airlines

“MAHA 2018 dijangka menarik lebih 3.5 juta pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya.

SALAHUDDIN melepaskan konvoi kenderaan agensi di bawah MOA sambil diperhatikan Sallehuddin (kanan).
SALAHUDDIN melepaskan konvoi kenderaan agensi di bawah MOA sambil diperhatikan Sallehuddin (kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 12:56 PM