MOHD Rafi (dua kanan) bersama ahli kumpulannya selepas berjaya mendaki puncak Gunung Fansipan di Vietnam, kelmarin. FOTO Ghazali Kori
MOHD Rafi (dua kanan) bersama ahli kumpulannya selepas berjaya mendaki puncak Gunung Fansipan di Vietnam, kelmarin. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli


ANAK jati Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu boleh dianggap sebagai ‘Raja Gunung’ apabila berjaya menawan Gunung Fansipan, Vietnam, kelmarin sekali gus menjadi gunung ke-50 yang pernah didaki sejak membabitkan diri dalam aktiviti lasak itu pada 1997.

Lebih bermakna apabila Mohd Rafi Kori, 39, mendaki gunung setinggi 4,134 meter itu ditemani isterinya, Marina Ahmad, 37, dan adiknya, Ghazali, 31, selain dua rakan iaitu Azwarin Ahmed, 37, dan Khairul Razali, 37.

Mohd Rafi berkata, dia dan kumpulannya merancang untuk mendaki Gunung Fansipan sejak enam bulan lalu dan akhirnya hasrat itu tercapai biarpun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran termasuk cuaca yang sejuk mencecah lima darjah selcius selain hujan dan kabus.

“Kami mengambil masa selama dua hari satu malam untuk sampai ke puncak dan ia memang catatan masa yang normal untuk sesi pendakian gunung berkenaan.

“Sebagai ketua ekspidisi itu, saya berpuas hati kerana semua ahli kumpulan termasuk isteri berjaya menawan puncak tertinggi di Vietnam dan Indochina terbabit dengan selamat.

“Setiap gunung yang pernah ditawan mempunyai cabaran serta pengalaman berbeza, dan Gunung Fansipan memang sesuai untuk kaki gunung yang dahagakan cabaran baru kerana laluannya yang berliku biarpun treknya tidak terlalu panjang,” katanya.

Katanya, gunung itu ialah gunung yang ke-25 ditawan bersama isterinya selain Gunung Everest pada 2007 dan Gunung Latimojong , Indonesia, Oktober tahun lalu.

“Saya dan isteri berkongsi hobi serta minat yang sama sebelum berkahwin. Sehingga kini jika tiada halangan dan kekangan waktu bertugas kami akan mendaki bersama,” katanya yang pernah mendaki Gunung Ararat di Turki, Gunung Blanc di France, Annapurna Base Camp di Nepal, Gunung Aconcagoa di Argentina dan Gunung Kilimanjaro di Tanzania.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 9:25 PM