PENDAKI KRES berjaya menawan puncak Gunung Fansipan pada ketinggian 3,140 meter dari aras laut.
PENDAKI KRES berjaya menawan puncak Gunung Fansipan pada ketinggian 3,140 meter dari aras laut.
Oleh Husain Jahit


Hanoi: Selepas diuji dengan laluan amat mencabar, seramai 11 pendaki Kelab Rekreasi Seputra, Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Putra (KRES), Bangi berjaya menawan puncak Gunung Fansipan setinggi 3,143 meter dari aras laut (mdpl) di sini pada pagi kelmarin.

Perjalanan panjang, trek basah, berbatu-batan licin, angin kencang, hujan, kabus, dan suhu di bawah tujuh darjah Selsius menjadi habuan setiap pendaki yang diketuai Penasihat KRES merangkap Guru Besar, Mohamad Jamil Yahaya.

Cabaran bermula seawal jam sembilan pagi pada Jumaat lalu diiringi seorang jurupandu tempatan yang mengkhabarkan akan melalui trek lain daripada biasa disebabkan beberapa isu tidak dapat dielakkan.

Perubahan laluan itu mengakibatkan tempoh sampai ke Kem 2 (kem penginapan pada ketinggian 2800mdpl) menjadi lebih panjang iaitu sehingga 12 jam berbanding lapan jam jika melalui jalan biasa.

Akibat hujan lebat dan ribut pada malam itu, serangan ke puncak ditangguhkan sehingga jam tujuh pagi. Jadual asal adalah pada jam empat pagi.

Perjalanan semakin mencabar apabila kebanyakan kawasan menghampiri puncak terkesan akibat pembangunan kemudahan kereta kabel yang dijangka siap menjelang Julai tahun depan.

Selepas perjalanan selama hampir tiga jam, kesemua pendaki berjaya menawan puncak yang turut mendapat jolokan Bumbung Indochina itu secara berperingkat.

Menurut Mohamad Jamil, mendaki gunung menjadi antara aktiviti tahunan KRES yang dirancang setiap bermulanya cuti akhir tahun pada setiap sesi persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:41 AM