DR Mahathir Mohamad
DR Mahathir Mohamad
Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa apabila Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, tidak dibangunkan mengikut apa yang dirancangkan beliau sebelum ini.

Dalam temu bualnya dengan Wall Street Journal (WSJ), Dr Mahathir berkata, Putrajaya mempunyai terlalu banyak bangunan tinggi dan penduduk di sini dilihat lebih suka memandu berbanding berjalan di sepanjang jalan utama yang luas.

“Saya mahu membina sebuah boulevard seperti Champs-Élysées di Paris, dengan jalan raya dan banyak kedai,” katanya dipetik dalam temu bual itu merujuk kepada Persiaran Perdana, di sini.

Jalan raya tiga kilometer yang dipanggil The Boulevard oleh penduduk di sini melalui bangunan pentadbiran di Presint 2 hingga 4 dengan Dataran Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri di satu hujung dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di hujung yang lain.

“Orang ramai akan pergi berjalan-jalan dan menikmati kopi di kafe dan semua itu. Tetapi, penjawat awam, mereka mahu menjadi eksklusif. Mereka tidak mahu sesiapa di sana.

“Saya beritahu mereka jika anda berbuat demikian, maka seluruh bandar mati dan ia menjadi bahaya,” katanya.

Dr Mahathir juga mengadu mengenai pemandangan menara setinggi 564 kaki (171.9 meter) dari pejabatnya.

“Kenapa mereka mahu membina bangunan tinggi ini? Ia merosakkan segala-galanya,” katanya.

Bangunan yang dirujuknya itu adalah bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setinggi 39 tingkat terletak di hujung jalan raya, bersama-sama dengan bangunan tinggi lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Selepas Dr Mahathit berundur (sebagai Perdana Menteri keempat), banyak idea beliau yang dibatalkan oleh penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi termasuk sistem pengangkutan monorel di pusat pentadbiran ini yang kini hanya meninggalkan terowong yang tidak disiapkan dan jambatan yang tidak dihubungkan merentasi tasik buatan manusia.

Jambatan itu digambarkan Dr Mahathir sebagai ‘satu-satunya jambatan tergantung yang tertangguh di dunia’.

Laporan WSJ turut melabelkan Putrajaya sebagai cultural backwater (pusat kebudayaan yang tak berkembang) dengan pelancong bingung dengan kekurangan lokasi kedai makan yang ditawarkan sementara rancangan untuk membuka francais Hard Rock Cafe yang disokong Dr Mahathir dibatalkan pelabur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 10:35 AM