DR Mahathir menyambut ketibaan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah. FOTO Bernama
DR Mahathir menyambut ketibaan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah. FOTO Bernama
Irwan Shafrizan Ismail


KERAJAAN Malaysia dan Brunei hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai pemindahan dan iring kawal banduan atau tahanan antara kedua-dua negara.

MoU itu membabitkan pemindahan dan iring kawal banduan atau tahanan dari Sabah dan Sarawak melalui Brunei serta sebaliknya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Brunei, Datuk Seri Setia Dr Awang Abu Bakar Apong menandatangani MoU berkenaan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Pemeteraian MoU itu disaksikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-22 antara Malaysia dengan Brunei.

Yang turut hadir, menteri Kabinet kedua-dua negara.

Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan pertemuan empat mata dengan Dr Mahathir di bangunan berkenaan lebih satu jam.

Ini adalah pertemuan julung kali antara Dr Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah di bawah kerangka Rundingan Pemimpin Tahunan, iaitu platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin sebelum ini bertukar-tukar lawatan pada Mei dan September 2018 susulan pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Jumlah dagangan di antara kedua-dua negara adalah sebanyak AS$981.2 juta (RM3.996 bilion) pada 2018.

Malaysia adalah pelabur utama di Brunei di rantau ASEAN dengan pelaburan langsung asing dari Malaysia berjumlah AS$486.74 juta (RM1.9 bilion) pada 2017 iaitu hampir 90.9 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing dari negara ASEAN lain ke Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 3:21 PM