EMPAT daripada lima beradik menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, akibat kebakaran bilik, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
EMPAT daripada lima beradik menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, akibat kebakaran bilik, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Mary Victoria Dass


KANAK-KANAK perempuan berusia tujuh tahun dan adik lelakinya berusia lima tahun melecur di badan dalam kebakaran bilik di tingkat dua sebuah rumah di Taman Nora, Ulu Tiram, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, dalam kejadian itu tiga adik-beradik mereka berusia 18 bulan hingga enam tahun turut mengalami kecederaan.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan pada 11.21 pagi sebelum dua jentera dengan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan BBP Tebrau dihantar ke lokasi kejadian.

“Pihak bomba mendapati kira-kira 50 peratus kebakaran sudah dipadam oleh keluarga dan penduduk sebelum ketibaan jentera.

“Malah, ibu mangsa didapati sudah membawa kelima-lima anaknya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, hasil lawatan anggota bomba di wad HSI mendapati dua mangsa melecur kini berada di zon merah.

“Kanak-kanak lelaki dan perempuan melecur di bahagian hadapan badan dan wajah. Manakala tiga adik-beradik mangsa yang lain turut menerima rawatan di HSI akibat kecederaan ringan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 5:37 PM