KEADAAN rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Ahmad Ismail


Muar: Empat adik-beradik maut selepas kediaman mereka di Lorong Haji Muhammad, Kampung Sabak Awor di sini, terbakar malam ini.

Dalam kejadian jam 7.49 malam itu, mangsa masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara tiga hingga lapan tahun ditemui sudah meninggal dunia.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, kebakaran membabitkan rumah jenis separuh kekal.

"Kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan rumah itu.

"Sebaik api padam sepenuhnya pihak bomba membuat pencarian mangsa.

"Empat mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan empat tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan lapan tahun ditemukan dalam bilik air rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi, malam ini.

ANGGOTA bomba memeriksa rumah di Lorong Haji Muhammad yang terbakar serta mengorbankan empat beradik. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba memeriksa rumah di Lorong Haji Muhammad yang terbakar serta mengorbankan empat beradik. FOTO Ihsan Bomba.

Menurutnya, seramai 20 anggota dari BBP Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mengesahkan semua mangsa sudah meninggal dunia.

"Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Operasi tamat pada 9.52 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:21 PM