TIGA peserta futsal Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) peringkat kebangsaan disambar petir di padang MSN Bukit Jalil kira-kira 4.30 petang semalam. FOTO Ihsan Facebook Arena Futsal Malaysia.
TIGA peserta futsal Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) peringkat kebangsaan disambar petir di padang MSN Bukit Jalil kira-kira 4.30 petang semalam. FOTO Ihsan Facebook Arena Futsal Malaysia.
Abdul Rahemang Taiming


“DALAM hati makcik cuma mampu mendoakan semoga tiada perkara buruk menimpa Wahid, syukur pada Allah kerana mendengar doa makcik.”

Demikian kata Julaiha Abdul Mukran, 65, ibu kepada Abdul Wahid Habib Abdullah, 25, pemain futsal Sabah yang cedera selepas dipanah petir ketika perlawanan Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, petang semalam.

Abdul Wahid kini dilaporkan stabil dan ditemani abang sulungnya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras di ibu negara.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, rakan sepasukan Abdul Wahid dikenali sebagai Faizal Alli dilaporkan kritikal, manakala seorang lagi mangsa, Nurr Izati Kamsani, wakil kontinjen Terengganu, turut cedera.

JULAIHA Abdul Mukran, 65, (kiri) ibu kepada mangsa dipanah petir, Abdul Wahid Habib Abdullah semasa perlawanan Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS), di Bukit Jalil. Turut bersama ibu saudara mangsa, Hartini Salem, 58. FOTO Abdul Rahemang Taiming
JULAIHA Abdul Mukran, 65, (kiri) ibu kepada mangsa dipanah petir, Abdul Wahid Habib Abdullah semasa perlawanan Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS), di Bukit Jalil. Turut bersama ibu saudara mangsa, Hartini Salem, 58. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Julaiha ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titingan di Tawau berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Abdul Wahid oleh anak sulungnya pada 6.40 petang semalam, selepas menunaikan solat Maghrib.

“Makcik terkejut sangat apabila Yahya (anak Sulung) pulang ke rumah memberitahu adiknya (Wahid) kena panah petir. Alhamdulillah pagi tadi, melalui anak sulung dan menantu yang sudah berada di hospital di sana, memaklumkan Wahid sudah stabil,” katanya.

Abdul Wahid dan pasukannya sepatutnya pulang ke Tawau hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian petang semalam, Faizal terbaring serta-merta di padang dan tidak sedarkan diri sebaik terkena petir, manakala Abdul Wahid rebah ketika berlari ke tepi padang dan Nurr Izati pula dilaporkan rebah sebaik menuju ke khemah pasukan Terengganu.

Sementara itu, ibu saudara Abdul Wahid, Hartini Salem, 58, tidak menyangka kejadian malang itu menimpa anak saudaranya yang sangat meminati sukan bola sepak dan futsal.

“Sejak kecil dia sudah menunjukkan bakat dalam bola sepak sehingga terpilih mewakili negeri, malah pernah mendapat tawaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, namun, dia terpaksa melupakan hasrat itu kerana tidak mahu berpisah dan berjauhan daripada ibu dan keluarganya,” katanya.

Berita berkaitan

Pemain futsal disambar petir

[UPDATE] 1 kritikal, 2 stabil dipanah petir

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 1:48 PM