Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Haikal beria-ia ingin memandu jengkaut dan sebelum kejadian petang semalam, hasratnya itu tercapai sebelum menghembuskan nafas terakhir," kata ibu kepada remaja yang maut dipanah petir, Muhammad Alif Haikal Ludin, 15.

Wan Sazatulazma Sanudin, 42, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu sering meminta untuk memandu jentera berat itu memandangkan kerap ke kuari yang juga tempat kerja mereka sekeluarga.

"Semalam saya pulang awal dan Haikal serta menantu masih di tapak kuari, malah saya difahamkan mereka ingin menyiapkan tugas mengangkut tanah.

"Saya dimaklumkan Haikal sempat memandu jengkaut yang selama ini diinginkannya untuk memasukkan tanah diangkut ke dalam lori sebelum mereka berjalan masuk ke dalam lori untuk turun ke kaki bukit.

"Bagaimanapun mereka keluar semula dari lori untuk menutup bahagian belakang kenderaan itu dan secara tiba-tiba petir menyambar lori menyebabkan mereka turut terkena tempias dan terus rebah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hutan Buloh, Melor, di sini, hari ini.

Wan Sazatulazma berkata, menurut seorang saksi yang berada di lokasi kejadian, anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Azhariah, Melor, sudah tidak sedarkan diri dan dia sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Dia yang berada di rumah ketika kejadian dihubungi suaminya, Hashim Tarmuji, 30, yang sudah berada di lokasi memandangkan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori di kuari berkenaan, masih berada di sekitar kawasan itu.

"Anak dan menantu segera dibawa ke Klinik Kesihatan Mahligai sebelum Muhammad Haikal dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk proses bedah siasat manakala menantu, Mohd Khairul Fitri Ismail, 27 dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

"Semalam Haikal meminta dibelikan makanan segera sempat menikmati juadah itu sebelum berlaku tragedi yang meragut nyawanya itu," katanya sambil memberitahu jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Hutan Buloh pada 1.30 pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 5.40 petang semalam di kuari Bukit Jerus, Selising, Mohd Khairul Fitri cedera di bahagian belakang kepala serta paha kiri manakala adik iparnya meninggal di lokasi kejadian.

Isteri Mohd Khairul Fitri, Nur Alia Najwa Ludin, 21, meluahkan rasa syukur kerana suaminya selamat dan pada masa sama, sangat hiba mengenangkan adik bongsunya dijemput Ilahi dalam tragedi itu.

"Saya bimbang berlaku apa-apa yang buruk terhadap suami memandangkan saya kini sedang hamil lima bulan anak sulung kami.

"Suami memaklumkan keadaannya stabil di hospital dan turut meluahkan rasa trauma serta sedih dengan kehilangan adik iparnya," katanya.

Berita berkaitan

  • Remaja maut, abang ipar cedera dipanah petir
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 3:41 PM