KEDAI emas di sebuah pasaraya di Bangi Avenue, Kajang yang disamun tiga lelaki, semalam. FOTO Norhidayah Bahaudin
KEDAI emas di sebuah pasaraya di Bangi Avenue, Kajang yang disamun tiga lelaki, semalam. FOTO Norhidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


KEDAI emas di sebuah pasar raya di Bangi Avenue, Kajang disamun tiga lelaki bersenjata mengakibatkan kerugian berjumlah kira-kira RM500,000, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 1.47 tengah hari.

“Ketika kejadian, premis berkenaan dijaga oleh dua pekerja wanita sebelum didatangi dua lelaki berpakaian gelap dengan bersenjatakan tukul dan objek menyerupai pistol.

“Kedua-dua lelaki terbabit bertindak memecah cermin pameran dan mengambil beberapa dulang barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), terdapat tiga suspek terbabit dalam kejadian itu.

“Dua daripada mereka masuk ke dalam pasar raya itu untuk melakukan samun, manakala seorang lagi suspek menunggu di luar. Kejadian itu dirakam berlaku kira-kira dua minit.

“Semua suspek dilihat meloloskan diri menaiki dua motosikal yang tidak dapat dikenal pasti model dan nombor pendaftaran,” katanya.

Katanya, kedua-dua pekerja wanita kedai emas berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan mendapati premis berkenaan yang beroperasi sejak dua tahun lalu pernah disamun pada awal tahun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/97 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubugi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Redzuan di talian 019-2714100,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 1:16 AM