ANGGOTA polis mengiringi tertuduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. FOTO ihsan Pembaca
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. FOTO ihsan Pembaca
Zahratulhayat Mat Arif


NELAYAN dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tujuh pertuduhan seksual termasuk mengurung isterinya secara salah dan memiliki video lucah pada pertengahan bulan lalu.

Tertuduh berusia 36 tahun dari Seri Manjung membuat pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan ketika dihadapkan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan seks luar tabie tanpa kerelaan isterinya berusia 36 tahun di rumah mereka di Lumut, Manjung.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 1 tengah hari hingga 2 petang dan antara 8.30 malam hingga 11.30 malam pada 16 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Tertuduh juga didakwa melakukan hubungan seks menggunakan peralatan tanpa kerelaan isterinya di lokasi sama antara 8.30 malam hingga 11.30 malam pada 16 April dan antara 9 pagi hingga 10 pagi pada 17 April lalu.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Lelaki terbabit turut didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya ketika melakukan hubungan seks di lokasi sama antara 8.30 malam hingga 11.30 malam pada hari yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengurung isterinya secara salah di rumah berkenaan antara 1.30 tengah hari 16 April hingga 12 tengah hari 18 April lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 342 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana memiliki 13 keping video cakera padat (VCD) lucah di lokasi sama antara 1.30 tengah hari 16 April hingga 12 tengah hari 18 April lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Prosiding kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Naidatul Athirah memohon kepada mahkamah supaya tertuduh tidak diberikan jaminan kerana mangsa adalah isterinya dan mereka tinggal di bawah satu bumbung.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM32,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 8 Mei ini untuk tarikh hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 3:54 PM