Mohd Roji Kawi


KEMPEN kesedaran berterusan menggunakan pelbagai kaedah dilakukan pihak berkuasa untuk mengingatkan orang ramai mengenai penipuan Macau Scam namun usaha itu seolah-olah tidak memadai apabila masih ada yang terpedaya.

Terbaru, tiga laporan diterima semalam masing-masing satu di Kuching dan dua di Miri membabitkan kerugian berjumlah RM80,000.

Dalam kes pertama di Kuching, seorang wanita berusia 58 tahun yang juga pesara kerajaan kerugian sebanyak RM54,000 selepas diperdaya dengan panggilan ahli sindiket itu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, bimbang dengan dakwaan terbabit dalam kes dadah dan pengubahan wang haram, mangsa bersetuju membayar sejumlah wang bagi menyelesaikan kes itu.

Beliau berkata, kes kedua di Miri pula membabitkan seorang juru perunding yang kerugian RM5,992.70 selepas sindiket itu mendakwa dia melarikan diri daripada membayar cukai.

Mustafa berkata, kes ketiga juga di Miri menyebabkan seorang ahli perniagaan kerugian sebanyak RM19,999.74 apabila terpedaya selepas menerima panggilan mendakwa dia memiliki hutang kad kredit tertunggak untuk transaksi di Semenanjung Malaysia.

“Setiap hari, ada saja berita, artikel malah video mengenai bagaimana modus operandi Macau Scam serta cara bagaimana untuk mencegahnya kita siarkan di pelbagai media.

“Malangnya masih ada yang tidak pernah langsung mendengar atau mengetahui mengenai wujudnya penipuan Macau Scam itu,” katanya.

Bagaimanapun, Mustafa berkata, pihaknya tidak akan berhenti memberi peringatan agar seluruh rakyat Sarawak menyedari bahawa panggilan yang mereka terima antaranya daripada polis, mahkamah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau bank yang meminta membayar sejumlah wang bagi menyelesaikan sesuatu kes, adalah palsu.

“Polis mahupun agensi lain serta pihak bank tidak akan meminta sesiapa menyelesaikan sesuatu kes dengan membuat pembayaran melalui akaun bank.

“Jika menerima panggilan seperti itu, pergilah ke balai polis atau mahkamah atau mana-mana agensi yang diberitahu oleh penjenayah itu untuk mendapatkan pengesahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 10:30 AM