MOHD  Khairil Azamin  (kiri)   bersama   anggota Unit PPDA    memeriksa alat kelengkapan skuba di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu.
MOHD Khairil Azamin (kiri) bersama anggota Unit PPDA memeriksa alat kelengkapan skuba di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu.
Mohd Zulkifli Zainuddin

Kota Bharu: Dihanyutkan arus Sungai Buaya lebih satu kilometer selepas menyelamatkan seorang mangsa terperangkap di atas pokok ketika banjir di Rantau Panjang dua tahun lalu, antara detik cemas anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.

Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohd Khairil Azamin Mohamad, 35, berkata, walaupun hanya cedera ringan akibat terkena pokok buluh, pengalaman getir itu tidak dapat dilupakan kerana jika silap langkah boleh memburukkan keadaan.

Menceritakan detik cemas itu, dia yang berkhidmat sebagai anggota PPDA sejak 2010 berkata, bot dinaiki tiga anggota termasuk seorang rakannya dari unit sama dan bapa mangsa tiba-tiba terbalik berikutan arus deras sungai.

“Pada mulanya kami dimaklumkan seorang remaja tersangkut dekat pokok di Sungai Buaya sebelum kami bergegas ke lokasi menaiki bot. Namun sebaik menghampiri mangsa, bot kami terbalik akibat arus kuat dan masalah teknikal bot.

“Saya dan rakan dari unit sama terus menyelamatkan dua anggota bomba serta bapa mangsa supaya bergantung pada bot yang diikat di pokok berhampiran mangsa. Saya dan rakan menyelam mengharungi arus deras untuk menyelamatkan mangsa yang berada berhampiran.

“Namun apakan daya, sebaik mangsa diselamatkan ke dalam sampan kecil berdekatan, tiba-tiba kami dihanyutkan arus lebih satu kilometer dan hampir merempuh pokok getah,” katanya di sini, semalam.

Mohd Khairil Azamin yang juga antara 38 anggota PPDA di negeri ini, berkata, dia bersama rakannya menendang pokok untuk mengurangkan impak pelanggaran memandangkan arus deras itu boleh menyebabkan badan mereka cedera jika tersilap langkah.

“Sebaik sampai ke tempat selamat, kami berjalan lebih 500 meter sebelum menumpang bot yang membawa mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya yang menerima Anugerah Sijil Wira Bomba sebagai penghargaan menyelamatkan mangsa ketika banjir waktu itu.

Katanya, selain Sijil Wira Bomba, dia juga diberi penghargaan Sijil Wira Merah selepas mengharungi arus kuat ketika meredah banjir besar 2014 dengan memandu bot amfibia selama 10 jam dari bandar Kuala Krai ke Sekolah Kebangsaan Manek Urai bagi membantu ratusan mangsa yang terperangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 11:03 AM