KESESAKAN lebih lapan kilometer apabila berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM81.2 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Yong Peng, 7.30 pagi, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
KESESAKAN lebih lapan kilometer apabila berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM81.2 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Yong Peng, 7.30 pagi, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Fahd Rahmat


LIMA cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, di KM81.2 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Yong Peng, 7.30 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Azhan Abdul Halim berkata, kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh hampir 10 kilometer tetapi situasi itu terkawal selepas pihak berkuasa sampai ke lokasi kejadian.

“Kemalangan itu membabitkan Nissan Navara dengan dua lori dan berpunca apabila seorang daripada pemandu lori hilang kawalan dan merempuh lori lain sebelum terbalik.

“Rempuhan itu menyebabkan lori melintang di kedua-dua lorong lebuh raya sehingga berlaku kesesakan di laluan sehingga lapan kilometer dan trafik perlahan.

“Lori yang terbalik itu turut menghempap Nissan Navara di laluan sama. Kita masih menjalankan siasatan lanjut kes itu,” katanya

Beliau berkata, semua yang cedera termasuk parah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, sebuah jentera bersama lapan anggota diketuai Ibnul Kasim Ahmad dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Asroy Yahaya bergegas ke lokasi kejadian.

“Kami menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.05 pagi dan mangsa yang cedera termasuk parah berjaya dikeluarkan dari kenderaan masing masing. Operasi berjaya ditamatkan pada 10.13 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 1:57 PM