ANTARA pengunjung Mybest Buy dan Jualan Terus Dari Ladang Melaka Day. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
ANTARA pengunjung Mybest Buy dan Jualan Terus Dari Ladang Melaka Day. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Nor Akmar Samudin


GELOMBANG cuaca panas yang sedang melanda negara tidak menjejaskan pengeluaran hasil pertanian.

Sehingga kini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) belum menerima aduan berhubung kekurangan hasil pertanian atau peningkatan harga sayuran di pasar tani kendalian mereka.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran My Best Buy - Jualan Terus Dari Ladang @ Melaka Day Jom Gegau! di Selayang, hari ini.

Kata beliau, keadaan cuaca ini ada kebaikannya pada sesetengah tanaman yang akan cepat matang dan banyak keluaran.

“FAMA ada sumber bekalan yang kukuh seperti kobis, sawi dan kelapa yang akan di salurkan ke setiap outlet,” katanya.

Ahmad berkata, program My Best Buy yang diadakan sehingga hujung tahun ini memberi ruang kepada petani dan peniaga memasarkan barangan mereka kepada pengguna pada harga rendah.

“Setakat ini FAMA ada 162 lokasi dan akan ditambah 30 lokasi lagi bertumpuan orang ramai seperti kawasan pejabat, hospital, kilang, kawasan perumahan dan IPTA.

“Pesta jualan ini akan diadakan sebulan sekali setiap hujung bulan pada hari Jumaat.

“Dijangkakan dengan penambahan lokasi My Best Buy, hasil jualan disasarkan sebanyak RM16 juta dengan pembabitan lebih 3,000 peniaga,” katanya.

Pelancaran My Best Buy - Jualan Terus Dari Ladant @ Melaka Day Jom Gegau! ini adalah kerjasama FAMA dengan kerajaan Negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2019.

Ia dilancarkan oleh Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan & Industri Asas Tani Negeri Melaka, Norhizam Hassan Baktee.

Kata Norhizam, kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan RM1.2 juta untuk petani negeri itu bagi melaksanakan pelbagai projek pertanian termasuk projek fertigasi.

“Menerusi projek fertigasi, hasil pertanian lebih konsisten tanpa dipengaruhi oleh cuaca dan dapat mengawal harga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 2:00 PM