GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Ranau: Kerosakan infrastruktur terutama jalan raya dan jambatan akibat tanah runtuh serta banjir di Sabah dianggarkan mencecah RM150 juta.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jumlah itu termasuk nilai kerosakan akibat tanah runtuh tapak letak kereta Taman Kinabalu di Kilometer 20, Jalan Ranau - Tamparuli di Kundasang yang berlaku Rabu lalu.

Katanya, selebihnya membabitkan kerosakan jalan raya di daerah lain termasuk di Pitas yang paling terjejas akibat banjir dua minggu lalu.

"Pada peringkat awalnya ada lebih 100 laluan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Sabah tetapi tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat pembaikan, menjadikan hanya tinggal 17 yang masih tidak dapat dilalui.

"Anggaran nilai kerosakan akibat tanah runtuh di Kundasang antara RM35 juta hingga RM40 juta dan kalau untuk semua kawasan mungkin mencecah RM150 juta," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi tanah runtuh dekat Taman Kinabalu di Kundasang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jaffry Arifin dan Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, peruntukan untuk melaksanakan kerja pembaikan sudah ada, namun perlu menunggu kajian kekuatan tanah selesai sebelum pembaikan dapat dimulakan.

Mengenai tanah runtuh yang meranapkan tempat letak kereta dekat Taman Kinabalu di Kundasang, beliau berkata kementeriannya menerusi JKR negeri, pakar geologi dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri akan bekerjasama menangani isu itu.

"Ia untuk memastikan kawasan ini bukan saja selamat tetapi boleh didirikan semula sebab ini kawasan laluan penting untuk masyarakat dan pelancong. Peruntukan untuk menyiapkan pembaikan juga sudah ada dan hanya tinggal untuk memulakan kerja.

"Cuma ia memerlukan sedikit masa sebab kajian pergerakan tanah itupun kena diambil kira kerana kita tidak mahu bina runtuh lagi. Jadi kena ada perbincangan yang lebih menyeluruh di kalangan agensi kerajaan," katanya.

Katanya, kerja pembaikan diharap boleh dimulakan sejurus kajian selesai, manakala kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada kerajaan Pusat untuk membiayai kos pembaikan.

Sementara itu, katanya jambatan yang runtuh di Kampung Telaga, Pitas ketika banjir baru-baru ini sudah siap dibaiki dan penduduk boleh menggunakannya semula.

Bagaimanapun, katanya beberapa lagi kampung di Pitas yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh masih terputus hubungan terutama di Kampung Liu.

"Pasukan yang membaiki jambatan di Kampung Telaga beralih pula ke Kampung Liu kerana di sana pun jalan putus, tidak dapat dilalui.

"Ia perlu dilakukan dengan pantas dan kita berharap cuaca semakin baik supaya kerja pembaikan kawasan yang terjejas tidak tergendala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 2:34 PM