FOTO faill menunjukkan kawasan terjejas akibat tanah runtuh di parkir berhampiran Taman Kinabalu. FOTO Ihsan JKR
FOTO faill menunjukkan kawasan terjejas akibat tanah runtuh di parkir berhampiran Taman Kinabalu. FOTO Ihsan JKR
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya sudah memulakan kerja mengawal kesan runtuhan di Kilometer 20, Jalan Ranau - Tamparuli berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran laluan berkenaan, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid berkata, syarikat terbabit akan melaksanakan tindakan yang bersesuaian sehingga kerja pembaikan mula dilaksanakan.

Katanya, kerja pembaikan runtuhan di laluan berhadapan jalan masuk ke Taman Kinabalu di Kundasang, Ranau itu akan dimulakan sejurus peruntukan yang dimohon daripada Kerajaan Persekutuan diterima.

"Pihak konsesi sudah mengambil tindakan perlu dan sementara itu, kita akan memohon peruntukan kepada kerajaan persekutuan untuk memperbaiki kerosakan ini," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian pagi Rabu lalu, hampir keseluruhan kawasan letak kereta bersebelahan lorong kiri dari arah Ranau ke Kota Kinabalu terjejas apabila tanah di kawasan itu runtuh dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak minggu lalu.

Runtuhan sepanjang kira-kira 150 meter (m) dan 100 m lebar itu membimbangkan orang ramai berikutan kedudukannya sangat hampir dengan jalan raya yang menjadi laluan utama menghubungkan pantai barat dengan pantai timur Sabah.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyatakan pihaknya memohon peruntukan daripada kerajaan Pusat untuk membaiki runtuhan itu.

Sementara itu, Jurutera JKR Ranau, Mac Glen Frederick Lojuman menyatakan lorong sebelah kiri dari arah Ranau ke Kota Kinabalu sepanjang 250 m ditutup sejak petang kelmarin.

Penutupan itu katanya sebagai langkah keselamatan bagi mengelak kemungkinan berlaku runtuhan baharu hingga ke kawasan jalan raya berikutan kedudukan bahagian yang runtuh sebelum ini sangat hampir dengan jalan raya.

Berita berkaitan

Kawasan parkir Taman Negara Gunung Kinabalu runtuh [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 8:42 AM