Najib ketika tiba di pejabat JSJK di Menara KPJ (No. 238) dari Ibu Pejabat SPRM , Putrajaya. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Najib ketika tiba di pejabat JSJK di Menara KPJ (No. 238) dari Ibu Pejabat SPRM , Putrajaya. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nor Azizah Mokhtar


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disoal siasat hampir empat jam selepas ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Menara KPJ Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur, hari ini.

Najib, 65, tiba di ibu pejabat AMLA jam 9.20 pagi tadi dengan diiringi sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau ditahan pasukan itu petang semalam.

Kehadiran beliau ke situ bagi membantu siasatan oleh pihak polis bersama SPRM berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kehadirannya yang memakai sut berwarna gelap dan berkemeja biru muda sebelum pegawai AMLA mengiringinya di lobi bangunan itu.

Ini adalah kali ketiga Najib dipanggil untuk dirakam keterangan kepada pihak Unit AMLA berhubung siasatan 1MDB selepas yang pertama dan kedua pada 27 Ogos serta 30 Ogos lalu.

Semalam, Najib ditahan oleh pihak SPRM pada jam 4.13 petang di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

SPRM dalam kenyataan semalam memaklumkan, beliau ditahan berhubung kes 1MDB berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadinya mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Siasatan polis pula dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan Najib ditahan setelah mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

Selesai soal siasat, Najib kemudian dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dari Menara KPJ pada jam 1.38 petang untuk proses pertuduhan ke atasnya membabitkan sekurang-kurangnya 25 pertuduhan mengikut kedua-dua akta itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 2:56 PM