GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMBANTU kedai ditahan selepas disyaki menceroboh masuk Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di Senai, hari ini selain menghalang tugas polis yang mahu menahannya.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi, suspek, 23, dikatakan sudah melepasi balai berlepas, namun pemeriksaan dijalankan mendapati dia tidak mempunyai tiket penerbangan.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian, seorang polis bantuan menahan suspek yang menceroboh masuk ke balai berlepas itu, namun lelaki terbabit tidak berpuas hati.

“Pihak polis LTAS dimaklumkan oleh polis bantuan bahawa suspek menceroboh masuk ke dalam balai berlepas tanpa melalui pemeriksaan awal keselamatan dan dia gagal menunjukkan dokumen diri serta tiket penerbangan apabila diminta.

“Polis bantuan mengarahkan suspek keluar, tetapi dia menunjukkan sikap tidak puas hati dan cuba bertengkar. Seorang pegawai polis kemudian memperkenalkan diri dan mengarahkan serta mengiringi suspek keluar dari balai berlepas.

“Ketika dalam perjalanan keluar, suspek bertindak agresif mencekak leher anggota polis itu dan menolaknya sehingga berlaku sedikit pergelutan sebelum suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis LTAS untuk tindakan lanjut,” katanya.

KETUA Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar. FOTO Arkib NSTP
KETUA Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, terdapat kesan kemerahan pada tengkuk kiri anggota polis terbabit kesan tolakan suspek.

Katanya, berdasarkan siasatan awal suspek yang berasal dari Sabah dan menetap di Semenanjung Malaysia sejak setahun lalu mengaku menceroboh balai berlepas LTAS serta tidak memiliki tiket penerbangan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan tiada rekod jenayah,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 7:22 PM