Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Pasangan yang mendakwa suami isteri ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, berikutan disyaki cuba mengedar dadah.

Bahan terlarang seberat 5.99 kilogram itu ditemui dalam beg pakaian ketika imbasan bagasi dilakukan, pada 6.05 pagi semalam.

Polis kemudian menahan wanita berusia 35 tahun dan lelaki mualaf 52 tahun.

Mereka turut mendakwa sebagai suami isteri di kaunter mesin pengimbas bagasi lapangan terbang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said, berkata mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika melalui kaunter pemeriksaan bagasi.

“Anggota polis bantuan kemudian mengarahkan mereka membuka beg berkenaan tetapi mereka enggan dan memberi pelbagai alasan.

"Pemeriksaan lanjut kemudian dilakukan dengan bantuan polis di Balai Polis LTAS.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui enam paket plastik lutsinar yang mengandungi hablur jernih dadah jenis syabu anggaran berat 5,987.72 gram yang disorokkan dalam dua kotak biskut di dalam beg pakaian terbabit," katanya.

Beliau berkata, nilai dadah yang dirampas mencecah kira-kira RM671,822.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati ketika ditahan, suspek wanita yang berasal dari Kluang, yang dijadualkan hendak ke Kota Kinabalu, Sabah, dan akan kembali semula ke Johor Bahru pada hari yang sama.

Katanya, suspek lelaki yang berasal dari Kulai dipercayai menghantar pasangannya itu ke LTAS, pada pagi berkenaan.

"Kedua-dua suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 4:26 AM