PROJEK pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Bintulu. FOTO Mohd Roji Kawi
PROJEK pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Bintulu. FOTO Mohd Roji Kawi
Goh Pei Pei


KEMENTERIAN Kerjaraya mengalu-alukan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa merentasi Brunei Darussalam.

Menterinya, Baru Bian menjelaskan keputusan kepemimpinan tertinggi negara untuk mengalihkan lebuh raya itu dari jajaran asal ke jajaran alternatif melalui beberapa kawasan pedalaman dan luar bandar di wilayah utara Sarawak, disifatkan sebagai tepat pada masanya.

Beliau melihat langkah itu membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan berkenaan, sekali gus membantu memperkasakan kemajuan sosio-ekonomi setempat yang mampu memberi impak positif kepada rakyat bagi tempoh jangka panjang.

"Ini termasuk peluang ekonomi dalam konteks pertanian dan perniagaan di kawasan yang bakal direntasi jajaran baharu itu.

"Ada banyak rumah panjang di kawasan berkenaan dan sudah pasti apabila lebuh raya ini dibina melalui jajaran baharu itu, penduduknya memperoleh banyak manfaat," katanya dalam satu kenyataan, di Kuching, hari ini.

Beliau juga yakin projek infrastruktur itu mampu menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan di kawasan berkenaan dengan adanya akses perhubungan yang lebih baik.

"Tarikan seperti Gunung Mulu, Gunung Murud dan Batu Lawi memiliki potensi besar dalam konteks pelancongan, malah dengan adanya lebuh raya itu, sudah pasti ia dapat meningkatkan kunjungan pelancong ke situ.

"Ia juga bakal menjadi nadi kehidupan di Limbang. Ini tentunya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Limbang," katanya.

Baru berkata, jajaran baharu itu juga dapat memudahkan masyarakat pedalaman dan luar bandar di wilayah utara negeri ini, khususnya di Baram, Bario dan Ba'kelalan mendapatkan khidmat rawatan kesihatan di Hospital Miri.

Ketika ini, penduduk yang memerlukan rawatan terpaksa melalui perjalanan jauh merentasi Brunei untuk sampai ke Hospital Miri yang mengambil masa lama, selain perbelanjaan tinggi.

"Bagaimana pula dengan nasib mereka yang tidak memiliki pasport. Untuk merentasi sempadan negara, kita memerlukan pasport dan tidak semua memiliki pasport atau mampu untuk memilikinya.

"Bagi pesakit yang kritikal, terutama di Lawas, alternatif yang ada diterbangkan ke hospital di Kota Kinabalu menggunakan helikopter. Ini juga membabitkan kos, selain menambahkan tekanan kepada hospital di sana," katanya.

Katanya, Kementerian Kerjaraya sedang meneliti jajaran terbaik bagi laluan baharu lebuh raya berkenaan bersandarkan faktor geografi di kawasan itu sebagai inisiatif penjimatan kos, termasuk memendekkan jarak jajaran yang bakal dibina itu.

Isnin lalu, Dr Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah dalam pertemuan berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan mencapai persetujuan bahawa Lebuhraya Pan Borneo tidak akan dibina merentasi Brunei seperti perancangan asalnya atas faktor kekangan kos serta isu imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 10:41 AM