NAJIB menunjukkan tanda fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (Jajaran Teluk Melano-Sematan) sambil diperhatikan Adenan (kanan), semalam.
NAJIB menunjukkan tanda fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (Jajaran Teluk Melano-Sematan) sambil diperhatikan Adenan (kanan), semalam.
Oleh Shamran Sarahan

Lundu: Kontraktor tempatan di Sarawak diberi keutamaan dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo melalui kaedah rakan kongsi penyampaian (project delivery partner atau PDP) dengan pembiayaan dibuat sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat sebelum diagihkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, langkah itu bagi memastikan projek bernilai RM18 bilion memberi peluang ekonomi lebih baik kepada anak jati Sarawak dalam pembangunan negeri itu melalui pelaksanaan projek mega berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini, kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya menerima cadangan berhubung pemilihan syarikat pembinaan dan syarikat perunding untuk pelaksanaan projek lebuh raya itu dengan keputusannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Peruntukan yang akan dikeluarkan Kerajaan Pusat RM18 bilion (keseluruhan anggaran kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo), ia bukan dana yang kecil. Ini menggambarkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan di negeri ini, tambahan pula Sarawak memang dekat di hati saya sebagai PM (Perdana Menteri).

“Lebih 50 tahun rakyat Sarawak mengharapkan pembinaan lebuh raya ini. Selama ini, saya berazam merealisasikan hasrat ini dan inilah yang boleh saya tinggalkan untuk rakyat Sarawak,” katanya ketika Majlis Memulakan Kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Teluk Melano-Sematan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Najib berkata, beliau yakin pembinaan projek lebuh raya itu bakal menjadi pemangkin kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi di Sarawak apabila ia siap sepenuhnya.

Beliau berkata, jika Lebuhraya Utara-Selatan membuka peluang pembangunan dan menambah baik jaringan hubungan antara bandar di Semenanjung Malaysia, kesan sama bakal wujud melalui pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Pelancaran Pembinaan Jajaran Teluk Melano-Sematan semalam dijangka mengambil masa 39 bulan dan akan siap pada Disember 2018 dengan anggaran kos RM700 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 9:52 AM